AgamaLuar Negara

Kerajaan akan teliti semua kemas kini berkaitan haji oleh Arab Saudi

MEKAH – Pelbagai usul dan fatwa mengenai isu asas ibadah haji yang dibincangkan pada Simposium Perdana Haji Edisi ke 48 yang dianjurkan oleh kerajaan Arab Saudi akan diteliti demi kebajikan jemaah haji Malaysia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kementerian dan Lembaga Tabung Haji (TH) akan melihat usul-usul yang dibincang dan dibentangkan pada persidangan itu untuk diselaras dan dikemas kini dengan prosedur semasa.

“Matlamat utama simposium ini adalah untuk memaklumkan menteri dari setiap negara mengenai perkembangan serta usaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam memastikan kebajikan jemaah haji keseluruhanya.

“Ada juga antara persoalan mengenai fatwa dan usul fiqh dibincangkan kerana mereka menjemput Mufti Mesir, Sheikh Ahmad Sheikh Shuaki serta Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Abdulaziz Al-Sudais,” katanya memetik laporan BH online di sini semalam.

Tahun lalu, Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji dijemput untuk membentangkan kertas kerja mengenai pengurusan Haji Malaysia.

Delegasi Malaysia disertai oleh ialah Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Acara yang diketuai oleh Menteri Haji dan Umrah, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah yang dihadiri oleh lebih daripada 500 ulama dan pemikir dari seluruh dunia Islam.

Simposium ini akan menekankan peranan budaya dan tamadun Kerajaan Arab Saudi dalam melayani jemaah mengenai pencapaian terpenting, projek, dan perkembangan pesat di dua Masjid Suci untuk melayani umat Islam iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Ia bertujuan menubuhkan prinsip dialog intelektual mengenai isu-isu umat Islam semasa musim haji, mempromosikan komunikasi saintifik dengan institusi dan penyelidik di seluruh dunia, serta membina integrasi dan persaudaraan yang lebih besar dalam kalangan umat Islam.

Dalam perkembangan sama, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais, menekankan bahawa kempen “Tiada Haji Tanpa Permit” dilancarkan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, menggesa semua pihak menyokong dan bekerjasama dengan agensi keselamatan yang melaksanakannya.

Dalam ucapannya bertajuk “Mematuhi Kebenaran Syariah dan Pematuhan kepada Peraturan yang Diluluskan dalam Ibadah Haji,” dipetik dari laman web Saudi Press Agency (SPA), Abdulrahman Al-Sudais menegaskan bahawa mereka yang tidak mempunyai permit berisiko melakukan dosa dan terbabit dalam perbuatan terlarang dengan melanggar syariah.

Show More

Related Articles

Back to top button