PM X

Tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan ‘tutup mata’ amalan salah laku – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana ketua jabatan yang ‘tutup mata’ terhadap salah laku penjawat awam dibawah kelolaannya tidak akan dinaikkan pangkat.

Perdana Menteri berkata, adalah mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit tidak mengetahui mengenai wujudnya amalan salah laku dalam pentadbiran masing-masing.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali) mesyuarat dalam masa terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu sistemnya bobrok dan tidak dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata,
beliau mahu satu ketetapan mengenai kenaikan pangkat itu dibuat pada minggu hadapan dengan prosedurnya dijangka diumumkan oleh Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

“Saya harap saudara faham, kalau tidak saudara boleh pilih tidak mahu jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, maklumkan kepada KPPA, katakan – saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi ketua unit atau jabatan,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Tambah Anwar, tanggungjawab untuk mencegah amalan salah laku tidak hanya terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, malah pada ketua jabatan dan ketua unit juga.

“Ini bukan soal selamatkan imej dan integriti penjawat awam tetapi untuk selamatkan negara ini. Saya mahu Malaysia terkenal sebagai negara bersih atau paling minimum rasuahnya, tidak seperti yang ada sekarang,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button