Berita Semasa

Kerajaan tidak batal subsidi bahan api, sebaliknya beri terus kepada rakyat – Rafizi

NIBONG TEBAL – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel yang mencecah RM60 bilion setahun.

Sebaliknya, Rafizi berkata, subsidi berkenaan akan dialihkan dengan cara memberikannya terus kepada rakyat di negara ini.

Menurut Rafizi, kerajaan sebelum ini menyalurkan subsidi kepada syarikat-syarikat minyak setiap tahun, berbeza dengan sekarang yang mana ia akan terus diagihkan kepada keluarga yang menikmati pembiayaan serendah RM200 hingga RM500 sebulan.

“Zaman minyak dulu yang harga RM1.90 tahu tak berapa harga minyak mentah masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja (kerana) masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih.

“Sekarang ini subsidi RM60 bilion dengan harga minyak mentah AS$80 (setong)… saya sebut dulu (turunkan harga minyak) kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh kenapa nak hapuskan subsidi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas berlaku kekecohan semasa Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap malam tadi, apabila seorang lelaki membangkitkan isu harga minyak yang tidak turun.

Tambah Rafizi, penyaluran subsidi secara tidak bersasar yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu menyebabkan kerajaan sukar untuk melakukan pembangunan bagi pelbagai sektor.

“(Sekarang) bila subsidi sudah jadi RM80 bilion nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah itu yang dapatnya orang kaya-kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu, bukanlah kita batalkan.

“Kita alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi. Diesel kenderaan awam, lori kecil, pikap, peniaga semua dapat, malah orang biasa gaji RM100,000 ke bawah setahun pun dapat atau kita agihkan kepada keluarga biar dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan RM200, RM300, RM400 (atau) RM500,” katanya lagi.

Sementara itu, Rafizi turut yakin bahawa rakyat akan dapat melihat dengan lebih baik bagaimana peruntukan subsidi itu disalurkan terus kepada isi rumah.

Show More

Related Articles

Back to top button