Berita Semasa

Cadangan naikkan harga siling beras putih tempatan selewatnya Oktober ini

SERDANG – Cadangan kenaikan harga siling beras putih tempatan dijangka akan dimuktamadkan kerajaan selewat-lewatnya sebelum Oktober ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini cadangan menaikkan harga beras putih tempatan masih dalam peringkat perbincangan dan menuju ke peringkat penyelesaian akhir.

“Sebelum Oktober. Tak lama lagi,” katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 hari ini.

Mohamad berkata, cadangan itu mengambil masa untuk diputuskan kerana ia melibatkan beberapa kementerian.

“Bukan hanya melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tetapi melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Mohamad berkata, kerajaan masih dalam proses perbincangan berhubung cadangan menaikkan harga beras putih tempatan dan keputusan dijangka beberapa bulan lagi.

Pada November tahun lalu, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini.

Sementara itu, Mohamad menyasarkan tiga juta orang akan berkunjung ke Maha sepanjang penganjurannya bermula 11 September hingga 22 September ini.

“Tarikh itu dipilih memandangkan ia cuti penggal persekolahan dan akan memberi peluang orang ramai untuk hadir ke pameran itu.

“Maha menyasarkan nilai jualan langsung berjumlah sekurang-kurangnya RM40 juta sepanjang penganjurannya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button