Jenayah & Mahkamah

Bekas peguam bapa Zayn Rayyan jawab tuduhan tidak pernah dilantik

KUALA LUMPUR – Bekas peguam kepada bapa arwah Zayn Rayyan, Mahmud Jumaat menegaskan dakwaan oleh datuk mangsa bahawa dia tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa kanak-kanak itu adalah satu fitnah.

Mahmud dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, pada 31 Mei keluarga bapa Zayn sendiri telah menghubunginya pada pukul 11 malam berkenaan penahanan pasangan suami isteri itu dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya keesokannya.

Malah, dia turut menafikan pelantikan itu atas inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti didakwa sebelum ini sebaliknya ia merupakan inisiatif keluarga bapa Zayn Rayyan sendiri.

“Tiba-tiba saya menerima berita bahawa saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan.

“Bagi saya ini adalah fitnah! Saya datang mahkamah tempoh hari tersebut untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah?

“Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim terutamannya ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya.

Mahmud Jumaat bersama ahli keluarga kepada arwah Zayn Rayyan di mahkamah pada 31 Mei lalu.

Susulan dakwaan itu katanya, datuk arwah Zayn telah menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp dan telah memohon maaf tentang apa yang berlaku.

Justeru, beliau berharap isu perlantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini.

Dalam pada itu, Mahmud juga enggan mengulas lanjut mengenai tindakan dirinya menarik diri daripada mewakili bapa Zayn.

Sementara itu Mahmud turut menegaskan dia masih mewakili ibu arwah Zayn dalam kes itu.

“Kami telah hadir ke Mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan). Ini adalah atas pertimbangan saya untuk mewakili ibu Zayn Rayyan selepas berjumpa dengan keluarga mereka.

“Apapun saya ucapkan terima kasih kepada keluarga Isma atas pencerahan yang dibuat dengan mengesahkan bahawa kami sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes. Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya janganlah kita sakiti hati orang membantu kita.

“Saya rasa cukuplah kita berbincang tentang isu perlantikan peguam ini. Saya harap kita semua boleh terus berdoa agar arwah Zayn Rayyan mendapat keadilan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button