Bisnes & Ekonomi

Mahasiswa mampu berperanan sebagai duta, sampaikan maklumat percukaian – LHDN

SUNGAI PETANI – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus komited mengatur strategi untuk memperkasa asas pembesaran cukai dalam kalangan generasi muda menerusi Program HASiL Your Tax Buddy (HYTB@IPT).

Program ini merupakan kolaborasi antara LHDN Kedah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah dengan melibatkan penyertaan seramai 120 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa pelbagai fakulti di peringkat diploma dan sarjana muda.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, program kali kedua diadakan di negeri Jelapang Padi ini merupakan salah satu pendekatan pihaknya dalam membentuk generasi yang memiliki literasi cukai yang tinggi sekali gus melahirkan golongan pelajar celik cukai.

“Sebanyak tiga segmen telah dilaksanakan bagi memenuhi pengisian program iaitu HASiL Pocket Talk, HASiL MyTaxrobic dan HASiL Taxplorace,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi dan Pengarah LHDN Kedah, Aziz Din hadir merasmikan program itu.

Pada masa sama, LHDN Kedah turut mengambil inisiatif menyantuni mahasiswa yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan menerusi kutipan Sumbangan Tabung Kiosk Prihatin Kepada Mahasiswa-Mahasiswa UiTM Cawangan Kedah dengan jumlah sumbangan sebanyak RM5,000.

Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Khairul Halimin kepada Mohd Sazili Shahibi yang mewakili UiTM Kedah.

Khairul Halimin dalam ucapannya berkata, pihaknya melihat penganjuran program ini sebagai satu langkah positif untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang mampu bertindak sebagai duta LHDN.

Beliau berkata, ia seterusnya dapat menyampaikan maklumat percukaian dan meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Semoga kolaborasi ini dapat memenuhi aspirasi Malaysia Madani dalam usaha LHDN mendidik masyarakat yang cakna mengenai kepentingan dan tanggungjawab membayar cukai sekali gus menjadikan sistem percukaian negara sebagai aset komuniti yang perlu dipelihara demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button