Berita Semasa

JPN nafi terlibat program tawar kewarganegaraan di Johor Bahru

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan pihaknya terlibat menawarkan permohonan status warga negara di dalam satu program yang akan diadakan di Stulang, Johor baru, pada 30 Jun ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi jabatan berkenaan, JPN memaklumkan pihaknya tidak terlibat dalam program tersebut.

“Ia bukan anjuran bersama JPN, malah tiada jemputan penyertaan JPN ke program terbabit.

“Jabatan juga ingin menjelaskan di mana permohonan berkaitan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter Pejabat JPN sahaja dengan kehadiran pemohonan di situ,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” kata JPN.

Sebelum ini tular di laman Facebook poster penganjuran program permohonan warga negara dijadual berlangsung di Johor Bahru, pada 30 Jun ini.

Susulan itu majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang terbabit ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dilaporkan berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab lain.

Katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

Show More

Related Articles

Back to top button