Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Seludup barang import RM3.5 bilion: 3 pegawai agensi penguatkuasa antara 7 individu ditahan SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tujuh individu dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang.

Menurut sumber, kesemua suspek yang merupakan dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an telah ditahan dalam Ops Transit lewat petang semalam di sekitar Pelabuhan Klang.

Pesalah SPRM sindiket penyeludupan barangan import yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang.

“Susulan penahanan itu, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga pegawai agensi penguatkuasa, seorang pengarah syarikat dan tiga pekerja syarikat telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 Jun oleh Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin.

“Sindiket ini dipercayai telah membuat pengisytiharan palsu dalam borang kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” katanya lagi.

Tambahnya, dalang sindiket ialah seorang warga Singapura yang kini masih berada di luar negara sedang bercuti bersama keluarga.

Katanya, SPRM juga membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit.

“Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) pada Rabu lalu telah berjaya menahan 19 buah kontena yang mengandungi pelbagai barangan import,” ujarnya.

Jelasnya, pemeriksaan mendapati lima buah kontena mengandungi barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses.

“Kontena-kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import seperti kerusi roda, tekstil dan jamban duduk anggaran kasar nilai 19 kontena termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Pesalah SPRM sindiket penyeludupan barangan import yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang.

Beliau juga menyatakan SPRM akan menyiasat kes ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Menurut beliau pihak JKDM akan mengendalikan kes-kes yang melibatkan pengisytiharan palsu dan lain-lain kesalahan sebagaimana tertakluk di bawah Akta Kastam 1967.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti seluruh aspek pembayaran cukai syarikat dan individu yang terlibat,” tambahnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button