Berita SemasaSukan

Kim Pan-gon tak puas hati jaringan gol Kyrgyzstan

BISHKEK – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap gol yang dijaringkan oleh Kyrgyzstan selepas Malaysia terikat seri 1-1 di Stadium Dolen Omurzakov di sini, malam tadi.

Keputusan perlawanan Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia itu menjejaskan misi Malaysia mencipta sejarah dengan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan layak lebih awal ke Piala Asia.

Pan-gon berkata, pasukannya mahukan kemenangan dan telah memulakan perlawanan dengan baik namun, gol Kyrgyzstan yang dijaringkan oleh Gulzhigit Alykulov pada minit ke-24 sukar diterima kerana situasi terkena tangan pemain sebelum jaringan gol tersebut terhasil.

“Kami melihat untuk menang perlawanan itu, namun realitinya Kyrgyzstan lebih baik dari kami. Kami bermula dengan baik, tetapi sukar untuk terima gol pertama. Saya rasa sepatutnya ia tidak diterima kerana terkena tangan. Ia satu situasi sukar, namun kami dengan cepat kembali untuk 1-1, iaitu suatu yang bagus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Katanya, jurulatih tersebut kecewa dengan keputusan pada separuh masa pertama namun, beliau tetap berpuas hari dengan pemain-pemainnya yang sudah memberikan yang terbaik.

“Pada separuh masa kedua, kami berusaha lebih kuat lagi, namun gagal untuk menang. Saya berpuas hati dengan kesemua pemain negara, hargai usaha mereka. Saya fikir mereka pasti kecewa. Mereka benar-benar mahu menang malam ini, tetapi keputusannya lain,” ujarnya.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terus berada di tempat ketiga Kumpulan D dengan tujuh mata dan tiga mata di belakang Kyrgyzstan, yang mempunyai kelebihan gol sebelum perlawanan terakhir.

Manakala, Oman di tangga teratas dengan 12 mata dan telahpun layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.

Pada perlawanan terakhir kumpulan D, Malaysia dengan perbezaan jaringan negatif dua, akan menerima kunjungan Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun ini (Selasa).

Kyrgyzstan dengan perbezaan jaringan kelebihan enam gol, akan ke Muscat bertemu Oman.

Jika Malaysia gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia juga akan hilang kelayakan automatik ke Piala Asia 2027 dan perlu bermain dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 untuk melayakkan diri buat kali kedua ke Piala Asia.

Show More

Related Articles

Back to top button