Usim anjur Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10, perkasa zakat negara
PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menganjurkan Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10 dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Uthm) bagi memperkasa institusi zakat Malaysia dalam membangun Malaysia Madani di The Everly Hotel di sini.
Naib Canselor Usim, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, Muzakarah Zakat tersebut, banyak resolusi berjaya dihasilkan dan digunapakai sebagai rujukan dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat.
“Saya berasa bertuah kerana Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Usim sekali lagi diberikan kepercayaan untuk melaksanakan Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10,” katanya dalam majlis perasmian hari ini.
Katanya, muzakarah yang bertemakan institusi zakat dalam membangun Malaysia Madani itu membincangkan manfaat dan idea berdasarkan pendekatan enam rukun Malaysia Madani.
Dalam pada itu, Majlis Penutup Muzakarah Zakat Kebangsaan kali ke-10 dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan hari ini.
Tambahnya, program tersebut telah bermula sejak 2014 yang melibatkan pegawai-pegawai zakat dan mufti-mufti dari seluruh Malaysia.
Sehubungan itu, diharapkan muzakarah tersebut akan dapat memberi impak besar dalam memperkukuhkan kutipan dan agihan zakat serta membangunkan kerangka konsep Malaysia Madani dalam konteks institusi zakat.