Jenayah & Mahkamah

Polis akan mohon sambung tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan

SHAH ALAM – Pihak polis akan memohon tempoh reman ibu bapa kanak-kanak lelaki autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin disambung setelah tempoh reman kedua-duanya tamat esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, permohonan sambungan reman itu dibuat bagi melengkapi siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.Ditanya sama ada sudah ada pengakuan atau belum, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Esok kita akan pohon untuk menyambung reman,” katanya kepada portal Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, peguam ibu bapa kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin memaklumkan beliau tidak dibenarkan bertemu mereka yang kini dalam tahanan reman.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu, Fahmi Abd Moin dilaporkan berkata, beliau sudah memohon jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertemu namun tidak dibenarkan.

Dalam kejadian pada 6 Dis tahun lalu, jenazah Zayn Rayyan ditemukan di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada kira-kira pukul 10 malam.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada pukul 6.30 petang oleh keluarganya.

Show More

Related Articles

Back to top button