JAKIM akan panggil Ustaz Don – Menteri Agama
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil pendakwah, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan kontroversi mengenai ‘cinta pertama’ Rasulullah SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbincangan lanjut bersama Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd. Yusof akan dilakukan bagi mengusahakan pertemuan itu.
“Dalam Islam, asas agama untuk menasihati antara satu sama lain dan JAKIM sebelum ini memang mengambil pendekatan untuk menasihati.
“Jadi, saya akan bercakap dengan Ketua Pengarah JAKIM dan bincang benda ini (bertemu Ustaz Don), ia tidak perlu serius sangat. ‘Over the table atau tea’ (secara santai), kita boleh jemput,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Al-Liqa Al-Qaniniy 2024, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Na’im berkata, individu terlibat turut dinasihatkan sentiasa merendah diri dan mengakui kesilapan sekiranya ada.
“… cuma kena ada sifat rendah diri untuk terima kita silap, mengakui kesilapan tidak kira sebesar mana kita, kena ada sifat tawaduk untuk terima kesilapan dan terus pandang depan,” katanya lagi.
Semalam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertindak ‘merehatkan’ pendakwah terkenal itu daripada program Salam Baitullah selepas dikritik susulan dakwaannya berkaitan kehidupan Nabi Muhammad SAW.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune