PM X

PM Anwar titip ucapan takziah kepada keluarga Pyanhabib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib, yang meninggal dunia malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mendoakan roh Allahyarham Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Saya pasti akan mengenang setiap karya Allahyarham yang sentiasa membawa suara dan denyut nadi rakyat. Pengorbanan serta perjuangan Allahyarham akan tersemat utuh buat selamanya,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang pada jam 9.30 malam, semalam, kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.

Jenazah Allahyarham dijangka dimandikan di Masjid As Sobihin, Lembah Keramat, Ampang pada jam 9 pagi ini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 jam 10 pagi.

Pyanhabib yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 27 Mei 1958, dikenali menerusi lakonannya dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Tsu-Feh Sofiah, Tak kisahlah Beb dan Rock Oo!.

Show More

Related Articles

Back to top button