Jenayah & Mahkamah

Baling pasu ke arah balai polis, dua remaja ditahan

SERDANG – Pihak polis telah menahan dua remaja lelaki kerana disyaki membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, kedua-dua suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada pukul 4 petang.

“Semakan dilakukan mendapati seorang daripada suspek adalah pelajar, manakala suspek kedua adalah penganggur.

“Dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, polis merampas serpihan batu atau pasu yang digunakan dalam tiga kejadian khianat.

“Ia termasuk kes khianat terhadap pagar Balai Polis Serdang yang dipercayai dilakukan oleh dua suspek terbabit pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas pakaian yang dipakai oleh kedua-duanya pada hari kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.

Sebelum ini laporan media pada hujung minggu lepas melaporkan dua individu bertindak membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang.

Tindakan itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas ditegur anggota polis kerana tidak memakai topi keledar.

Show More

Related Articles

Back to top button