Berita Semasa

Proses pengujian kod QR di CIQ berjalan lancar – imigresen

PUTRAJAYA – Proses pengujian pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR untuk perkhidmatan bas dan motosikal di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang bermula 1 Jun lalu berjalan dengan lancar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, pelaksanaan pengujian ini telah mendapat maklum balas positif daripada pengguna.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, seramai 117,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini dan seramai 13,846 pengguna telah menggunakan aplikasi ini.

“Sementara itu, proses pengujian yang sama sedang berjalan di laluan penumpang bas di CIQ BSI. Imigresen kini dalam peringkat akhir memperkemaskan keperluan-keperluan aplikasi kod QR bagi memastikan kelancaran pelaksanaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR adalah dalam proses percubaan secara Proof of Concept (POC) untuk tempoh tiga bulan.

Katanya, dalam tempoh ini, penggunaan kod QR hanya melibatkan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas dan motosikal di CIQ KSAB serta perkhidmatan bas di CIQ BSI.

“Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan kod QR di CIQ KSAB dan CIQ BSI adalah berjalan lancar bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button