Berita Semasa

MITI siasat laporan syarikat semikonduktor negara dikenakan sekatan AS

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyiasat laporan mengenai sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap sebuah syarikat semikonduktor Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, MITI perlu melihat laporan itu sepenuhnya, memandangkan syarikat itu antara kira-kira 300 syarikat di dunia yang dikenakan sekatan oleh AS.

“Lebih baik MITI memahami isu itu kalau ada apa-apa atau benar-benar berlaku,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan al-Jazeera menyebut, AS telah mengenakan sekatan terhadap kira-kira 300 entiti termasuk firma semikonduktor Malaysia, Jatronics Sdn Bhd kerana didakwa membekalkan komponen elektronik kepada tentera Rusia.

Bagaimanapun, kata Amir Hamzah, beliau difahamkan bahawa syarikat itu bukannya syarikat pengeluar semikonduktor tetapi syarikat perdagangan yang menjual perkakasan berkaitan industri semikonduktor.

“Malaysia adalah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka. Bagaimanapun, kita mahu mereka menjalankan perniagaan dengan cara yang betul.

“Oleh itu, biar siasatan dijalankan dan kita lihat hasilnya. Apa yang penting Malaysia tidak akan bertolak ansur kalau ada apa-apa yang tidak elok dilakukan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button