Luar Negara

Maldives umum sekatan bagi kemasukan rakyat Israel

MALE – Maldives mengumumkan akan menyekat kemasukan rakyat Israel ke negaranya, kata Pejabat Presiden kelmarin.

Memetik laporan Sky News, menurut jurucakap pejabatnya, Presiden Maldives, Mohamed Muizzu memutuskan untuk mengenakan larangan ke atas pasport Israel.

Tanpa memberikan butiran mengenai bila undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa, Mohammed juga mengumumkan kempen pengumpulan dana kebangsaan yang dipanggil Maldives in Solidarity with Palestine.

Berdasarkan data rasmi, bilangan warga Israel yang melawat Maldives menurun kepada 528 orang dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, turun 88 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Sebagai tindak balas kepada larangan itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel menggesa rakyatnya supaya mengelak daripada membuat perjalanan ke Maldives.

“Bagi warga Israel yang tinggal di negara itu, adalah disyorkan untuk mempertimbangkan untuk meninggalkan (Maldives), kerana jika mereka mengalami kesusahan atas sebarang sebab, sukar untuk kami membantu,” katanya.

Sekurang-kurangnya lebih 36,000 rakyat Palestin terbunuh selepas hampir lebih tujuh bulan perang antara Israel dan pejuang Palestin tercetus.

Sementara itu, menurut angka rasmi Israel,
seramai 1,189 rakyatnya telah terbunuh akibat perang yang berlaku sejak Oktober tahun lalu itu.

Seramai 252 individu juga telah dijadikan tebusan oleh Hamas dengan 121 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 37 yang dilaporkan sudah terkorban.

Show More

Related Articles

Back to top button