Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Keputusan peguam ibu bapa Zayn Rayyan cetus spekulasi

KUALA LUMPUR – Perkembangan terbaru kes pembunuhan kanak-kanak Autistik, Zayn Rayyan menjadi semakin ‘hangat’ apabila peguam yang mewakili ibu-bapa kanak-kanak itu menarik diri.

Pengumuman yang dibuat oleh peguam, Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co. seperti dilaporkan hari ini mencetuskan bermacam-macam spekulasi dalam media sosial.

Pemantauan Malaysia Tribune di akaun Facebook milik Mahmud juga menyaksikan ketaksuban nitizen untuk mengetahui ‘maksud’ tindakan peguam itu semakin membuak-buak.

Sebahagian daripada mereka pula mudah membuat spekulasi apabila mengaitkan tindakan peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa itu sebagai tindakan yang tidak diduga dan bersifat ‘sesuatu’.

Di saluran media lain pula tersebar petikan komen Mahmud yang sebelum ini menyatakan pendirian berhubung kes itu apabila ditanya adakah beliau akan meneruskan pembelaan sekiranya anak guaman menunjukkan tanda-tanda mungkin bersalah.

Jawapan yang diberikan Mahmud pada komen tidak bertarikh itu agak mengejutkan apabila beliau mengaku akan menarik diri daripada kes itu dalam situasi tersebut.

“Saya kalau tahu dia buat, saya sendiri akan tarik diri!,” komen Mahmud membalas pertanyaan Rus Hidayah.

Tangkap layar komen peguam ibu bapa Zayn Rayyan yang tular di media sosial selepas pengumuman beliau menarik diri dari mewakili kes itu.

Jawapan itu seolah-oleh memberi ‘pembayang’ kepada perkembangan kes berkenaan susulan penahanan kedua ibu bapa Zayn Rayyan bagi membantu siasatan kes yang tertangguh sejak setengah tahun yang lalu.

Dalam hantaran dibuat Mahmud semalam, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membuat komentar dan tidak melemparkan tuduhan liar sehingga boleh menjatuhkan reputasi serta merosakkan emosi ibu bapa.

“Perlu sedar bahawa mereka juga ada ibu bapa dan keluarga terdekat yang sedang mengikuti kes ini.

“Saya sendiri juga sangat ternanti-nanti hasil siasatan dan ingin tahu siapa pelaku yang kejam ini.
Semoga kes ini selesai secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya dengan kesan cedera pada leher dan badan.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button