Jenayah & Mahkamah

Bicara kes pecah amanah Najib, Mohd Irwan Serigar ditangguhkan ke 19 Jun

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, menetapkan 19 Jun ini sebagai tarikh bermulanya perbicaraan, selain memberi tempoh dua minggu bagi pihak pembelaan untuk meneliti dokumen diserahkan oleh pihak pendakwaan.

Selain 19 Jun, perbicaraan akan dijalankan pada 20, 24 hingga 27 Jun, 2 hingga 4 Julai, 9 hingga 11 Julai, 15 hingga 18 Julai, 22 hingga 25 Julai dan 29 hingga 31 Julai ini.

Enam pertuduhan pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion dihadapi Najib dan Mohd Irwan sepatutnya mula dibicarakan hari ini.

Terdahulu, peguam bela Mohd Irwan Serigar, Datuk K Kumaraendran, mendakwa lebih 100 dokumen kes itu belum diserahkan pihak pendakwaan.

Senada dengan pembelaaan Mohd Irwan Serigar, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang turut mendakwa banyak dokumen belum diserahkan pihak pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, memaklumkan, bagi kelancaran perbicaraan, pihak pendakwaan tidak membantah keputusan menangguhkan perbicaraan.

Menurut Muhammad Saifuddin, pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen menerusi empat peringkat antara 2018 hingga 2021.

Jelasnya, sekiranya terdapat dokumen yang tidak mencukupi, pihaknya akan merujuk kepada pegawai penyiasat jika dokumen tersebut terdapat di dalam simpanan mereka.

Pada 25 Oktober 2018, Najib, 68, dan Mohd Irwan Serigar, 64, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Show More

Related Articles

Back to top button