Agama

86 pelajar Akademi Al-Quran Amalillah berjaya bergelar hafiz, hafizah

KUALA TERENGGANU – Seramai 86 pelajar Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL)
berjaya bergelar hafiz dan hafizah 30 juzuk al-Quran manakala 19 orang pelajar berjaya syahadah al-Quran dalam Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi 5.0 di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Mohd Saifullah Hussin berkata, majlis yang dihadiri 2000 tetamu itu turut dirasmikan oleh mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Kita turut bangga salah seorang pelajar yang diraikan pada hari ini iaitu Muhammad Iman anak kepada personaliti TV, Aidid Marcello dan isterinya yang juga bekas penyampai berita, Norzie Pak Wan Chek” kata Mohd Saifullah.

Menurut Mohd Saifullah, AKMAL komited dengan sasaran untuk melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah menjelang 2025 menerusi kaedah hafalan Al Quran secara sistematik (fast-track) yang diperkenalkan.

Katanya, pelajar diambil seawal usia 10 tahun menggunakan kaedah ‘fast track‘ bagi hafazan 30 juzuk Al Quran dengan sasaran hafiz dalam tempoh setahun.

“Modul ini dicipta bagi menyelesaikan masalah anak-anak yang mengambil masa terlalu lama menghafaz Al Quran disamping membantu ibu bapa yang mempunyai perancangan melanjutkan pengajian anak-anak ke peringkat lebih tinggi.

“Dengan mengaplikasikan strategi program Speed Tahfiz, Modul AKMAL menyajikan pendekatan yang unik dengan mengintegrasikan sistem hafalan, dorongan motivasi harian, kajian pelajar yang berfokus, dan pengurusan psikologi.

“Impian AKMAL, ingin melihat, para pelajar menjadi hafiz 30 juzuk Al Quran di usia muda sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah” katanya.

Menurutnya lagi, pendaftaran pelajar baharu dibuat secara berfasa iaitu enam bulan sekali.

“AKMAL berharap dapat melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bukan sahaja menghafal Al Quran tetapi berjaya Syahadah dimana memiliki kemahiran teknik hafazan berstrategi dalam masa setahun atau kurang.

“Bukan itu sahaja, kami juga ingin melihat lebih ramai golongan intelektual mahir dan menghafal Al Quran dapat dilahirkan pada masa akan datang.

“Kita juga mahu menjadi peneraju konsep fast track hafazan menjelang 2025 sekali gus melahirkan ramai pelajar tahfiz yang berkualiti dan berketrampilan. Kita turut mahu menjadi pelengkap sistem pendidikan negara dalam tempoh akan datang dengan izin Allah.

“Kita mengharapkan agar usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan sudah pasti dengan bantuan semua, cita-cita ini akan dapat direalisasikan tidak lama lagi” ujarnya lagi.

Jelas Mohd Saifullah, AKMAL bakal menaik taraf akademi pengajiannya dengan menubuhkan kolej pengajian Al Quran yang menawarkan pengajian peringkat diploma pada tahun 2025.

Sebagai rekod, AKMAL yang berpusat di Marang, Terengganu dan telah beroperasi sejak lima tahun lalu memiliki lima cawangan antaranya di Bukit Beruntung, Sepang dan Shah Alam, Selangor serta di Batu Pahat, Johor.

Show More

Related Articles

Back to top button