Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Malim gunung meninggal selepas pengsan di Gunung Hitam, Hulu Langat

HULU LANGAT – Seorang malim gunung yang kerap melibatkan diri dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) meninggal dunia ketika mendaki Gunung Hitam di sini, hari ini.

Mangsa yang hanya dikenali dengan nama panggilan Along itu dilaporkan meninggal dunia pada pukul 5.50 petang selepas pengsan sebaik tiba di puncak gunung berketinggian 1,220 meter itu.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 11.48 pagi dan pasukan SAR sempat tiba kira-kira sejam setengah sebelum mangsa meninggal dunia.

“Pasukan mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai ke lokasi dan telah memberikan rawaran kecemasan.

“Bagaimanapun, mangsa yang berusia 57 tahun itu meninggal dunia pada pukul 5.50 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Md Razali berkata, operasi SAR oleh komander operasi dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu pasukan penyelamat, pasukan perubatan dan pasukan bantuan.

Katanya, anggota dan pegawai terlibat adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussien Onn bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia terlibat dalam operasi berkenaan.

Tambah beliau, agensi lain yang turut sama membantu adalah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) malim gunung dan Pasukan Bomba Sukarela Serdang.

Menurutnya, usaha membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut bagi masih giat dilakukan.

“Operasi masih diteruskan sehingga mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

“Anggaran masa untuk membawa mangsa turun ke pusat kawalan bomba (PKB) di sini pada jam 10 malam,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button