Politik

25 Ahli Parlimen, 58 ADUN tandatangani Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU – Muhyiddin

CYBERAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesyukuran kerana wakil rakyat dari partinya memilih untuk kekal teguh berjuang membela agama, bangsa dan negara.

Beliau berkata, kesetiaan tersebut dibuktikan menerusi pemulangan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi siap bertandatangan, semalam.

“Semalam, 31 Mei 2024 adalah hari terakhir untuk wakil-wakil rakyat BERSATU menyempurnakan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN telah menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung BERSATU dalam tempoh 14 hari,” kata Muhyiddin dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Jelas Muhyiddin, Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan BERSATU yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai anti lompat parti.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Khas BERSATU yang bertungkus-lumus menyempurnakan Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini secara tertib dan teliti, menepati segenap lunas undang-undang.

“Adalah diperingatkan bahawa mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU, ketidakpatuhan wakil rakyat BERSATU terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti BERSATU secara serta-merta,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button