Berita Semasa

Akaun Satelit Sukan sokong perkembangan industri sukan negara – Hannah

PUTRAJAYA – Sukan tidak terbatas kepada rekreasi tetapi turut mampu menyumbang kepada pendapatan negara menerusi, antaranya industri sokongan kepada aktiviti tersebut.

Bagi tujuan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membangunkan Akaun Satelit Sukan bagi mengumpul dan menganalisis data yang boleh digunapakai bagi mengembangkan sukan sebagai satu bidang industri yang boleh diceburi semua lapisan masyarakat.

“Akaun Satelit Sukan akan menjadi satu kayu ukur yang penting bagi menilai impak dasar-dasar baharu yang telah diperkenalkan terhadap industri sukan.

“Statistik yang diperoleh daripada data yang dikumpul ini penting sebagai asas dalam membuat keputusan dasar dan untuk memastikan dasar yang dibuat adalah data driven dengan impak yang boleh diukur,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Akaun Satelit Sukan, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. K. Nagulendran; Ketua
Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mohd Azhari Mohammad.

Akaun Satelit Sukan merupakan suatu sistem perakaunan yang menyediakan maklumat terperinci mengenai industri sukan, termasuk hubung kait penawaran dan penggunaan barangan dan perkhidmatan sukan.

Sebanyak 73 Kod Industri Standard Malaysia (MSIC) telah dikenal pasti bagi mendapatkan nilai pengiraan dalam pembangunan akaun ini.

Antaranya, industri sampingan yang berkait dengan sukan seperti pembuatan minuman ringan (soft drinks), kenderaan sorong makanan (mobile food cart) dan gerai/penjaja minuman.

“Saya percaya pewujudan akaun ini akan (dapat) memberi satu gambaran ekonomi yang lebih terperinci dan menyeluruh.

“Semoga dapatan daripada akaun dapat memberikan manfaat seterusnya memberikan impak kepada pembangunan sukan di Malaysia,” kata Hannah lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button