
Pesta Kaamatan, Hari Gawai: Pentingnya pertahan, hargai kepelbagaian – TPM Zahid
KUALA LUMPUR – Pentingnya mempertahankan dan menghargai kepelbagaian di samping mengukuhkan jalinan persaudaraan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua perayaan tersebut menjadi simbol kepelbagaian budaya yang menjadi aset penting kepada negara.
“Hari ini, saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak meraikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Perayaan ini merupakan simbol kepelbagaian budaya yang menjadi aset penting bagi negara kita serta melambangkan kesyukuran dan penghargaan kepada hasil tuaian.
“Sebagai negara berbilang kaum, Malaysia terkenal dengan keharmonian dan toleransi antara masyarakatnya. Kita berkongsi kegembiraan dalam perayaan ini, tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan budaya.
“Pesta Kaamatan dan Hari Gawai mengingatkan kita tentang pentingnya mempertahankan dan menghargai kepelbagaian ini serta mengukuhkan jalinan persaudaraan antara kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berharap agar perayaan tahun ini membawa kegembiraan sekaligus menyemai semangat bersatu hati untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara.
“Saya berharap, semoga perayaan tahun ini membawa kegembiraan, kesyukuran dan perpaduan yang lebih erat. Marilah kita terus bersatu hati dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.
“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak,” ujarnya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |