Malaysia jadi tuan rumah Majlis Mesyuarat Francais Antarabangsa
KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah baharu apabila menjadi tuan rumah bagi Majlis Mesyuarat Francais Antarabangsa buat julung kalinya.
Menteri Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ia satu pengiktirafan besar dari ahli-ahli Majlis Francais Antarabangsa yang memberikan impak besar kepada negara, selain meletakkan nama Malaysia sebagai tumpuan dalam industri francais global.
“Saya berharap dengan kekuatan Persatuan Francais Malaysia dan dukungan daripada Kementerian Usahawan dan Koperasi, kita dapat mengangkat lebih banyak lagi jenama francais untuk dikembangkan di dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Ekspo Francais Antarabangsa Malaysia 2024 di KLCC, hari ini.
Ewon juga menyarankan para usahawan yang berminat agar menceburi sektor francais supaya memanfaatkan peluang yang disediakan.
“Kita mempunyai beberapa kemudahan pembiayaan seperti Peneraju Francais Malaysia (PERNAS) dan beberapa institusi perbankan yang turut menawarkan pembiayaan kepada syarikat-syarikat francais ini,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, pertunjukan ekspo dan persidangan itu bukan sahaja memberi impak besar kepada pemain industri francais sedia ada malah turut membuka peluang kepada bakal usahawan untuk menceburi sektor ini.