Berita Semasa

2 faktor utama jadi punca nahas helikopter TLDM – Lembaga Siasatan

LUMUT – Lembaga Siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia merumuskan terdapat dua faktor utama menjadi penyebab kepada kemalangan pesawat itu yang berlaku di sini pada 23 April lalu.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, faktor penyebab itu diperoleh hasil daripada laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter TLDM yang dikeluarkan hari ini.

“Setelah diteliti, Lembaga Siasatan telah membuat kesimpulan bahawa faktor Utama penyebab kemalangan berlaku apabila pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta memasuki laluan pesawat AW139.

“Faktor Sekunder pula disebabkan channelized attention oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, setelah siasatan dilaksanakan secara komprehensif, Lembaga Siasatan mendapati laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau unsur-unsur fatigue terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.

Selain itu katanya, tiada juga unsur mental illness direkodkan atau dikenal pasti dan kesemua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai fit to fly.

“Kematian kesemua 10 mangsa adalah berpunca daripada multiple injuries due to aviation crash. Pesawat AW139 disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan Laporan Analisis Kotak Hitam. Pesawat Fennec ditentukan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi.

“Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak OEM. Sampel minyak, pelincir dan bahan api telah diperiksa dan disahkan normal oleh pihak Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE),” katanya.

Selain itu katanya, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.

“Laporan analisis kotak hitam pesawat AW139 digunakan untuk membantu siasatan manakala bagi pesawat Fennec, pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, laporan akhir ini adalah selari dengan laporan awal yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Tambahnya, laporan ini juga akan dihantar ke State Airworthiness Authority (SAA) untuk rekod.

Selain daripada upacara-upacara keagamaan dan bantuan psikologi menerusi kaunselor yang disediakan, katanya, urusan pembayaran pampasan khususnya dari Skim Takaful Berkelompok Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sumbangan dari Tabung Amanah Perwira Pertahanan Negara dan sumbangan-sumbangan lain telah diserahkan kepada waris-waris yang berkelayakan.

Ujarnya, pada masa sama, bayaran faedah serta ganjaran perkhidmatan dalam bentuk pencen dan secara bulanan kepada waris berkelayakan juga telah bermula.

“TLDM juga mengalu-alukan sumbangan ke Tabung Tragedi Lumut 24 yang telah ditubuhkan oleh ATM. Tabung ini masih dibuka dan hasil kutipan kelak akan diagihkan kepada waris mangsa yang terlibat.

“Semoga usaha-usaha ini dapat membantu meringankan bebanan yang sedang dihadapi oleh waris dan ahli keluarga mangsa,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button