Berita Semasa

Tidak duduki peperiksaan SPM, pelajar boleh sambung pendidikan di GiatMARA

KUALA LUMPUR – Calon SPM 2023 yang tidak menduduki peperiksaan tersebut boleh memohon untuk memasuki mana-mana di antara 232 cawangan GiatMARA di seluruh negara.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka boleh meneruskan pendidikan dalam bidang latihan berkemahiran sehingga ke peringkat tertinggi menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) MARA.

“GiatMARA juga telah mengenal-pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran termasuk bidang berteknologi tinggi seperti Artificial Intelligence, IOT, Robotik, Electrical Vehicle (EV), Renewable Energy Vehicle (REV) dan banyak lagi,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, malam tadi.

Tambahnya, program TVET MARA dijalankan dengan kerjasama rapat pemain-pemain industri supaya tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA terjamin peluang pekerjaan.

“GiatMARA sedang membuat kajian secara holistik supaya semua program dibawahnya berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.

“Setiap manusia dijadikan Allah punya kekuatan tersendiri. Yang kurang cemerlang dari segi akademik yang berorientasikan membaca dan peperiksaan bertulis, boleh cemerlang dalam bidang kemahiran seperti bidang TVET,” katanya lagi.

Asyraf berkata, langkah itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memastikan bidang tersebut menjanjikan gaji premium kepada anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memberitahu sejumlah 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button