Politik

Tidak adil desak Hannah Yeoh letak jawatan – Nie Ching

KUALA LUMPUR – Desakan supaya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meletak jawatan berhubung isu pemberian kontrak kerajaan negeri Selangor kepada suaminya, yang disuarakan oleh bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy adalah tidak adil.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, tindakan Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang selama 15 tahun di bawah kerajaan negeri DAP itu jelas menunjukkan sikap berpura-puranya selepas keluar daripada parti itu.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan membuktikan bahawa ada salah guna kuasa, saya percaya bahawa beliau (Hannah) akan tertakluk kepada tahap penyiasatan yang sama.

“… saya rasa beliau akan berkerjasama dengan sebarang bentuk siasatan tetapi soalan sama ada beliau wajar untuk letak jawatan, saya fikir ia terlalu awal,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Nie Ching turut mempersoalkan tindakan Ramasamy yang tidak melakukan gesaan sama apabila bekas Setiausaha Agung yang kini Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa di mahkamah.

“Adakah Ramasamy ketika itu meminta Lim Guan Eng (LGE) meletak jawatan dan kenapa dia tukar pendirian sekarang?

“Adakah kerana LGE ketika Setiausaha Agung dan Ramasamy tidak mahu serang dia atau pun masa itu (Ramasamy) dalam DAP tidak boleh serang dan kini apabila sudah keluar DAP, dia hendak jadi malaikat?” katanya lagi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjelaskan semalam bahawa siasatan interim berhubung isu pemberian kontrak tersebut tidak menemukan sebarang kesalahan dan tiada kes dalam isu tersebut.

Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, yang merupakan syarikat milik suami Hannah, ialah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.

Show More

Related Articles

Back to top button