Berita Semasa

Seramai 40,674 warga Selangor terima manfaat bus on demand

SHAH ALAM – Seramai 40,674 warga Selangor telah memanfaatkan perkhidmatan bus on demand di kesemua lapan laluan termasuk empat laluan yang dioperasikan oleh Asia Mobility.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, laluan itu melibatkan di Ampang, Hulu Kelang, Puchong, Universiti Putra Malaysia (UPM)-Serdang, manakala empat lagi laluan oleh Badan Bas iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, dan Sungai Buloh.

Beliau berkata, sebagai rekod dua syarikat dilibatkan bagi proses proof of concept bus-on-demand di Selangor, iaitu Asia Mobility Sdn. Bhd. dan Badan Bas Coach Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh Tan Sri Nadzmi Mohd Salleh

“Malah, peruntukan yang disalurkan kepada kedua-dua syarikat untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki bus on demand adalah sama rata, iaitu RM2.1 juta bagi sepanjang tempoh proof of concept.

“Bayaran ini tidak disalurkan secara sekaligus tetapi secara berperingkat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.

“Kos yang dianggarkan bagi setiap pengguna bagi setiap perjalanan adalah RM5, tetapi untuk menggalakkan lebih ramai warga Selangor untuk menggunakan perkhidmatan awam, kerajaan negeri menanggung kos RM3 bagi setiap penumpang dan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan hanya syarikat Asia Mobility menerima kontrak itu dan proses penglibatan kedua-dua syarikat yang menyertai proof of concept dibuat secara proses Request-for-Proposal (RfP) dan bukan rundingan terus seperti yang didakwa segelintir pihak.

“Keputusan untuk melibatkan hanya dua syarikat ini iaitu Asia Mobility dan Badan Bas diambil kerana apabila kerajaan negeri mengambil langkah untuk memulakan proses proof of concept bus-on-demand ini, hanya dua syarikat yang diberikan lesen untuk menyertai proof of concept oleh agensi Persekutuan iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat yang dikenali sebagai APAD.

“Tugas APAD adalah untuk menetapkan syarat dan garis panduan supaya syarikat yang menyertai proof of concept ini dapat menepati piawaian yang ditetapkan, mempunyai armada bas mini atapun van sendiri, had usia kenderaan yang tidak melebihi 10 tahun, pemandu yang mempunyai lesen kelas D yang sah serta bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, kesemua syarat termasuk yang di atas perlu dipatuhi sebelum APAD melesenkan mana-mana syarikat.

Berdasarkan maklumat ini katanya, jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melibatkan kedua-dua syarikat dalam proses proof of concept secara sama rata supaya satu syarikat tidak memonopoli proses pengujian ini.

Pada masa sama katanya, warga Selangor dapat menilai keberkesanan, keselesaan dan tahap efektif perkhidmatan yang disediakan.

“Sehubungan dengan itu, pada awal bulan ini, kerajaan negeri telah menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses proof of concept, iaitu Kumpool Sdn. Bhd. yang telah menerima kelulusan daripada APAD untuk menyertai proof of concept.

“Cadangan ini sedang dinilai supaya dapat dilibatkan dalam fasa berikutnya. Kerajaan negeri yakin bahawa proses penilaian Request for Proposal dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat dan garis panduan undang-undang sedia ada.

“Pentadbiran ini juga bersedia membentangkan keseluruhan proses penilaian ini kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan
negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan perbelanjaan peruntukan negeri,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button