Luar Negara

Pemegang visa lawatan dilarang masuk Mekah mulai 23 Mei

RIYADH – Arab Saudi menguatkuasa larangan kepada pemegang visa lawatan pelbagai kategori dengan tidak dibenarkan masuk atau berada di Mekah bermula 15 Zulkaedah bersamaan 23 Mei sehingga 15 Zulhijjah bersamaan 21 Jun.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, tindakan itu selaras larangan pemegang visa lawatan menunaikan haji.

“Pelawat yang kini berada di Arab Saudi dengan visa lawatan digesa mengelak perjalanan ke Mekah dalam tempoh ditetapkan.

“Mereka yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman mengikut peraturan ditetapkan kerajaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan disiarkan Saudi Press Agency.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah keselamatan diambil kementerian bagi memastikan keselamatan jemaah haji yang sah, selain membolehkan jemaah melakukan ibadat dengan mudah dan selesa.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri mengumumkan ia akan mula mengenakan denda berjumlah SR10,000 (RM12,514) ke atas individu yang melanggar peraturan tidak terkecuali warga Arab Saudi, selain ekspatriat dan pelawat yang ditahan memasuki Makkah tanpa permit haji dalam tempoh 2 Jun hingga 20 Jun ini.

Show More

Related Articles

Back to top button