Berita Semasa

Asia Mobility Sdn Bhd belum terima kontrak DRT

PUTRAJAYA – Syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) belum menerima kontrak secara sah bagi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) seperti didakwa Exco Selangor, Ng Sze Han.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa kontrak yang berada di bawah kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat itu masih belum diberikan secara sah kepada syarikat berkenaan.

“Selepas dilakukan proof of concept (pembuktian konsep), seperti dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa lesen projek tersebut diberikan (dipegang) oleh APAD.

“Belum ada apa-apa kontrak yang telah diberikan,” katanya pada sidang media di sini petang ini.

Sebelum ini, Exco Selangor, Ng Sze Han memaklumkan salah satu daripada syarikat yang dipilih dalam projek DRT itu adalah syarikat milik suami Hannah Yeoh, Ramachandran Muniandy selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Susulan makluman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa siasatan perlu dilakukan secara telus sekiranya ada pihak melaporkan perkara itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menjelaskan tidak wujud salah laku dalam pelantikan syarikat Asia Mobility bagi projek DRT yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui APAD itu.

 

Show More

Related Articles

Back to top button