Berita Semasa

Remaja lelaki sesat di Bukit Broga ditemukan meninggal dunia

KAJANG – Seorang remaja lelaki yang dilaporkan sesat semasa mendaki Bukit Broga di sini semalam, ditemukan meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Adi Putra Affendi, 16, ditemukan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu operasi pencarian pada pukul 2.50 petang tadi.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan mangsa sesat daripada penjaganya pada pukul 4.08 petang semalam.

“Maklumat awal diterima oleh pemanggil dipercayai penjaga yang memberitahu seorang remaja lelaki sesat semasa sedang menjalankan aktiviti riadah bersama penjaga dan dua rakannya di Bukit Broga.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih digerakkan ke lokasi bagi menyelaras gerakan mencari dan menyelamat bersama agensi bantuan lain seperti polis, malim gunung, renjer hutan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pasukan bomba sukarela.

“Operasi pencarian menggunakan kaedah ‘sweeping searching’ dijalankan dari Puncak 1 hingga Puncak 3 membabitkan kawasan berkeluasan 1.5 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Razali, pasukan penyelamat kemudiannya menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terjatuh gaung pada kedalaman 10 meter di lokasi kira-kira 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga.

Menurutnya lagi, mangsa berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat pada pukul 3.42 petang namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, beliau berkata operasi pencarian pada hari pertama telah ditangguhkan pada pukul 2.30 pagi setelah gagal menemui mangsa sebelum diteruskan semula pagi ini.

Show More

Related Articles

Back to top button