Berita Semasa

‘Komplikasi VITT terjadi antara empat hari hingga empat minggu selepas terima vaksin AZ’

Dr Noor Hisham perjelas fakta di sebalik dakwaan kes serangan jantung, strok dan darah beku yang berlaku ketika ini

PUTRAJAYA – Semua pihak diminta berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir berkenaan kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku ketika ini.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca (AZ) disebabkan tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin berkenaan sejak kebelakangan ini.

Dr Hisham menjelaskan, kesan sampingan yang dikatakan berkait dengan vaksin AZ adalah kesan darah beku atau VITT.

“VITT terjadi apabila darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi.

“Orang ramai diminta tidak bimbang kerana vaksinasi terakhir AstraZeneca telah berlalu bertahun lamanya. Kes mahkamah yang diuar-uarkan (kini) adalah kes yang berlaku di United Kingdom (UK) ketika pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Beliau bagamanapun berkata, kes pembekuan darah yang berlaku kini berkemungkinan disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol dan masalah kencing manis.

“Orang ramai diminta (dapat) membezakan antara kesan sampingan darah beku VITT (Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia) dengan masalah pembekuan darah yang lain.

“Kriteria diagnosa VITT mestilah ia berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah,” katanya lagi.

Jelasnya, risiko berlakunya jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) adalah lebih tinggi selepas dijangkiti COVID-19 berbanding kesan sampingan vaksin AZ.

“Insiden VITT (selepas suntikan vaksin AZ) juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam setiap satu juta suntikan.

“Selepas jangkitan COVID-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan TT adalah setinggi 165,000 kes dalam satu juta kes, manakala dalam kalangan perokok pula adalah 1,800 kes dalam satu juta perokok,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau seterusnya berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) ketika itu turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak memberikan vaksin AZ kepada golongan berisiko.

“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.

“KKM juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) berlaku,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button