Berita Semasa

Perlu lebih masa siasat anggota keluarga suspek

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan lebih masa untuk melakukan siasatan ke atas lima anggota keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis, pada 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, insiden berkenaan tidak boleh diambil mudah dan siasatan menyeluruh yang mengikut beberapa akta telah diguna pakai.

“Apapun ulasan yang kita hendak bagi, tindakan membunuh anggota keselamatan iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu merupakan perbuatan yang sangat serius.

“Kita ada beberapa akta, yang digunakan misalnya peringkat awal penahanan kanun keseksaan digunakan namun belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).

“Berdasarkan magnitud kes ini, tempoh yang lebih lama diperlukan polis untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor, di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), hari ini..

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penahanan semula lima ahli keluarga suspek mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) setelah tempoh reman mereka tamat hari ini.

Untuk rekod, seramai tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes, dengan dua daripadanya, pelajar IPT yang telah dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini.

Dalam kejadian pada 17 Mei lalu itu, dua lagi anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak dan ditetak individu bertopeng yang turut maut dalam kejadian itu.

Show More

Related Articles

Back to top button