Berita Semasa

Pemberian subsidi diesel disasarkan semula menerusi BUDI MADANI

KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan diesel persendirian yang memenuh kelayakan akan menerima RM200 sebulan melalui program bantuan subsidi MADANI atau BUDI MADANI.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini termasuk petani dan pekebun kecil komoditi di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Bagi kategori BUDI Individu, pemohon haruslah terdiri daripada warganegara yang memiliki kenderaan diesel persendirian tidak dikategorikan sebagai kenderaan mewah dan berusia bawah 10 tahun, dan mempunyai pendapatan tahunan RM100,000 ke bawah.

Sementara itu, bagi BUDI Agri-Komoditi, pemohon perlu berdaftar di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Ini selain memperoleh hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

Penerima yang layak boleh membuat permohonan secara dalam talian bermula esok melalui laman web rasmi BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.

Pemohon awal dijangka menerima BUDI MADANI pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Untuk rekod, BUDI MADANI melengkapi sistem ‘MySubsidi Diesel’ dimana hampir 90 ribu ‘fleet card’ telah dikeluarkan kepada syarikat pengangkutan awam dan barangan.

Show More

Related Articles

Back to top button