Berita Semasa

Orang ramai sokong pelaksanaan kod QR atasi kesesakan di Tambak Johor

JOHOR BAHRU – Langkah untuk menggunakan sistem kod QR bagi pemeriksaan Jabatan Imigresen di pintu sempadan antarabangsa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Pendekatan yang diambil itu juga mendapat sokongan positif daripada orang ramai terutamanya mereka yang berulang alik menggunakan laluan tersebut kerana setiap hari mereka terpaksa berhadapan dengan kesesakan.

Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati, orang ramai tidak sabar menggunakan pendekatan baharu itu dan berharap ia benar-benar dapat mengurangkan kesesakan.

“Tahniah semua yang terlibat dan jabatan jabatan yang berkait rapat dalam menangani kesesakan di ICQS. Tambak Johor merupakan sempadan darat paling sibuk di dunia dengan dianggarkan seramai 350,000 pengembara melaluinya setiap hari,” kata Nur Iman Mohd Adam.

“Walaupun Langkah ini telah dilaksana, sekali sekala kena juga buat lawatan mengejut di CIQ supaya masalah tidak berulang,” tulis Fify Afyna.

Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan tinjauan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, pagi tadi.

Sementara itu, terdapat pihak juga berharap supaya laluan khas dapat diwujudkan terutamanya untuk warga emas.

“Harap ada laluan khas untuk warga emas terutamanya yang menggunakan perkhidmatan awam juga. Harap dapat dipertimbangkan,” tulis Mohd Lokman.

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan pelaksanaan langkah itu selepas mengadakan tinjauan mengejut ke CIQ pada pukul 4.15 pagi bagi melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk melibatkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura terutama di kalangan majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang alik setiap hari.

Usai lawatan itu beliau berkata beberapa perkara perlu ditambah baik terutamanya dari aspek pengurusan bas di mana tempoh menunggu yang agak lama iaitu antara 45 ke 90 minit.

Sehubungan itu beliau mengumumkan pelaksanaan kod QR yang dapat mengurangkan kesesakan dengan pengguna motosikal di BSI dapat mengurangkan tempoh menunggu pada waktu puncak daripada 40 minit kepada 30 minit bersamaan 19 peratus penjimatan masa melalui inisiatif itu.

Sehubungan itu, tempoh menunggu bagi pengguna motosikal di KSAB pula dapat dikurangkan daripada 45 minit kepada 30 minit bersamaan 23 peratus penjimatan masa.

Pada masa sama, pelaksanaan kod QR akan mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas pada waktu puncak di BSI daripada 120 minit kepada 15 minit bersamaan 83 peratus penjimatan masa manakala, tempoh menunggu bagi pengguna bas di KSAB dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit bersamaan 74 peratus penjimatan masa.

Show More

Related Articles

Back to top button