Berita Semasa

Kontrak kepada syarikat suami Hannah Yeoh tidak menyalahi undang-undang – Azam Baki

KUALA LUMPUR – Pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik suami Menteri Belia dan Sukan tidak menyalahi undang-undang kontrak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pemberian kontrak kepada syarikat Asia Mobility tiada kaitan dengan jawatan menteri yang disandang oleh Hannah Yeoh.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

“Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya memetik laporan Buletin TV3 hari ini.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Mengulas lanjut, Azam berkata, berdasarkan pemerhatiannya dalam laporan media terhadap isu itu, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah.

“Jadi setakat ini kita tidak nampak apa apa kesalahan setakat ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button