Berita SemasaSukan

Master Malaysia: Zii Jia berjuang dalam kesakitan, terpaksa akur dengan kekalahan

BUKIT JALIL – Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, terpaksa berjuang dalam kesakitan apabila menentang Viktor Axelsen pada perlawanan akhir Masters Malaysia di Axiata Arena, di sini sebentar tadi.

Walaupun tewas kepada jaguh utama Denmark itu, Zii Jia harus diberikan pujian kerana meneruskan perlawanan ketika mengalami kecederaan kaki dan sempat juga memenangi aksi set kedua.

Kejuaraan Masters Malaysia menjadi milik Axelsen selepas tamat tiga set dengan keputusan 6-21, 22-20, dan 13-21 yang berlangsung selama satu jam tiga minit.

Set pertama menyaksikan Zii Jia gagal menemui rentak permainannya menyebabkan Axelsen berjaya menguasai tempo untuk menang 21-6.

Bagaimanapun, set kedua nyata berbeza apabila momentum berada pada Zii Jia untuk meneruskan perjuangan.

Dia akhirnya menang 22-20 setelah mengharungi detik-detik mendebarkan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di permulaan set penentuan, Zii Jia menunjukkan tanda-tanda kesakitan pada kakinya dan ketinggalan 4-0 sebelum meminta rawatan perubatan.

Dia kelihatan hampir menarik diri tetapi meneruskan permainan dan berjaya merapatkan jurang kepada 6-7.

Namun, Axelsen mengambil kesempatan untuk mendahului 17-12 dan akhirnya menang 21-13.

Untuk rekod, kemenangan pada kejohanan ini merupakan gelaran pertama diraih Axelsen pada tahun 2024.

Dalam perkembangan lain, pasangan suami isteri dan pemain badminton campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai muncul juara beregu campuran.

Pasangan ini menewaskan beregu campuran Indonesia, Rinoy Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, dalam straight set dengan skor 21-18, 21-19.

Kemenangan ini turut menebus kekecewaan Soon Huat-Shevon yang terlepas peluang menjuarai kejohanan edisi 2017 apabila tewas kepada rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Show More

Related Articles

Back to top button