Berita Semasa

Umat Islam diseru hentikan boikot perniagaan tertentu

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melalui teks ucapan khutmah Jumaat yang dibacakan di masjid seluruh negeri ini semalam menyeru umat Islam menghentikan tindakan boikot atau memulaukan perniagaan tertentu di negara ini.

Khutbah bertajuk “Menghayati Keadilan Sejagat Dalam Kehidupan Bernegara” itu mengajak umat Islam mendalami tujuan dan niat di sebalik tindakan boikot dan tidak terikut-ikut dengan tindakan yang tidak berasas.

Memetik pandangan Mufti Perak Wan Zahidi Wan Teh, khutbah itu menyatakan bahawa tindakan boikot harus dihentikan dengan hujah bahawa perbuatan tersebut berlawanan dengan keadilan Islam.

“Mufti berpandangan, boikot yang dilakukan ketika ini, tidak menepati sunah baginda Rasulullah SAW dan boleh menjerumuskan kepada berlakunya kezaliman.

“Lebih parah, apabila isu ini telah disensasikan tanpa landasan ilmu dan tanpa hujah yang benar, hingga menyemarakkan sentimen atau perasaan benci dan marah. Maka langkah menoktahi isu ini telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat,” menurut teks khutbah Jumaat disediakan JAIPk.

Mimbar khutbah juga berkongsi pandangan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang mahu neraca boikot dinilai berdasarkan aspek maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) secara mendalam.

“Adakah tindakan yang dilakukan itu adil dan benar, dan adakah tindakan memboikot itu mendatangkan kebaikan atau sebenarnya mengundang lebih banyak mudarat.

“Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru semua pihak agar mengambil berat kenyataan Mufti Negeri Perak, supaya isu ini tidak menjadi semakin keruh hingga merugikan semua pihak,” kata khutbah berkenaan.

Mimbar turut mengambil contoh ketika berlakunya perjanjian damai ‘Hudaibiah’ pada tahun keenam Hijrah, tentera Islam yang bersama Rasulullah SAW ketika itu berjumlah 1,400 orang.

Tetapi jelasnya, selepas dua tahun perjanjian damai termeterai, ketika ‘Fathu Mekah’ jumlah tentera Islam meningkat 10,000 orang; bererti ketika suasana damai, dalam masa dua tahun sahaja, dakwah Islamiah berkembang lebih pesat berbanding dalam suasana tegang dan perang pada tahun-tahun sebelumnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button