Berita Semasa

Siti Nurul Masyitah perlu jalani pembedahan susulan – Hannah

BANDA HILIR – Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan di Johor Bahru baru-baru ini masih perlu menjalani beberapa proses pembedahan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini telah melawat atlet tersebut.

Dalam lawatan itu, pihaknya dimaklumkan bahawa penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan itu telah menjalani tiga pembedahan setakat ini.

“Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama MSN akan terus memantau dan memberikan bantuan buat Siti Nurul Masyitah. Tumpuan kita adalah untuk memastikan dia kembali sembuh selain KBS turut menunggu laporan penuh daripada doktor untuk tindakan selepas ini,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Hannah berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata, pihaknya memandang serius berkaitan kebajikan semua atletnya termasuk mereka yang sedang menjalani proses pemulihan.

“Siti Nurul Masyitah masih perlu menjalani pembedahan dan sudah pasti memerlukan masa (untuk kembali sembuh). Apabila atlet kita dicederakan tidak kira siapa termasuk Faisal Halim (pemain bola sepak kebangsaan) mereka memerlukan masa jadi kita tidak boleh tergesa-gesa,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Siti Nurul Masyitah mengalami retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada 11 Mei lalu.

Atlet terbabit turut dikhuatiri terlepas peluang untuk beraksi pada Kejohanan Perahu Panjang Persekutuan Lumba Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober hingga 3 November depan di Palawan, Filipina.

Show More

Related Articles

Back to top button