Berita Semasa

Iklan lucah: YADIM gesa wujudkan satu garis panduan kawal produk kesihatan dewasa

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan jualan produk kesihatan yang menggunakan cara pemasaran yang tidak bermoral dewasa ini.

Menurut Timbalan Yang Dipertuanya, Prof. Madya Dr. Adi Anuar Azmin berkata, sudah tiba masanya, satu garis panduan yang jelas diwujudkan bagi mengawal kaedah penjualan dan pemasaran produk seperti ini.

“YADIM yakin dengan kebijaksanaan dan
keprihatinan pihak berkuasa dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu YADIM berbangga dengan kemunculan ramai usahawan terutamanya dalam bidang kosmetik dan perubatan.

Bagaimanapun, katanya, apa yang dikesali ialah timbul pula segelintir yang menjual produk kesihatan dewasa menggunakan gaya pemasaran jelas tidak beretika untuk masyarakat negara ini yang mengamalkan budaya timur yang mengutamakan sopan santun dan adab yang tinggi.

“Testimoni oleh pengguna yang kononnya sudah menggunakan ’ubat kuat’ ini dipaparkan jelas di media cetak dan elektronik serta media sosial sudah pasti.

“Dengan sengaja ditonjolkan ia sebagai berkesan dan mampu bertahan lama, dipaparkan dengan begitu kreatif sekali kononnya ia mampu memuaskan pasangan dan pelbagai lagi pemasaran produk yang sebenarnya memalukan, kerana dengan mudah segenap lapisan masyarakat termasuk anak kecil dapat menontonnya tanpa sekatan dan halangan.

“Jika ditinjau di media sosial, muncul begitu banyak iklan produk-produk ini, sekaligus dapat kita simpulkan, ia akan mudah dilihat oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kelucahan ini seolah-olah sudah jadi normal,” katanya.

Katanya lagi, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut hadis Riwayat Muslim.

“Dapat difahami daripada hadis ini, baginda mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan bahawa mereka berada pada seburuk kedudukan di sisi Allah SWT.

“Ini ditegaskan terutamanya dalam perkara sulit ehwal rumah tangga
seperti Istimta’ (keseronokan antara suami isteri).

“YADIM menyeru kita semua, khususnya para usahawan supaya sentiasa sensitif dan bijak dalam hal ini agar ia tidak meleret dan membawa kepada pelbagai kemudaratan yang lebih buruk,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button