Berita Semasa

Penempatan 747 pegawai perubatan siswazah bantu ringankan beban petugas kesihatan – KKM

KUALA LUMPUR – Seramai 747 pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah masing-masing akan ditempatkan ke semua negeri bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, langkah tersebut mampu meringankan peningkatan beban kerja petugas kesihatan.

Selain itu, penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) itu juga akan memberikan pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi kepada para siswazah.

“Ini penting agar mereka (PPS) mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat.

“KKM turut mengarahkan semua Pengarah Hospital untuk memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian PPS di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan pihaknya memahami cabaran dihadapi petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja.

Justeru itu, beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Sebelum ini, KKM memutuskan untuk membuka penempatan PPS baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital lain selain hospital negeri.

Keputusan dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS bertambah baik, dengan tawaran penempatan dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei lalu yang membabitkan 792 calon.

Show More

Related Articles

Back to top button