Berita SemasaPolitik

Parti Cinta Sabah sertai gabungan GRS

KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) yang dipimpin oleh bekas Menteri Luar, Tan Sri Hanifah Aman menjadi anggota terbaru menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Penyertaan itu menjadikan GRS kini dianggotai oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini berkata, penyertaan PCS sebagai komponen baharu GRS diterima sebulat suara oleh presiden parti bawah gabungan itu.

“Penyertaan PCS, sebuah parti tempatan merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan lagi kesatuan dan perpaduan politik di Sabah.

“Kami percaya bahawa dengan kerjasama yang lebih erat, kita dapat mencapai matlamat bersama untuk membangunkan negeri Sabah ke arah yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.

Masidi berkata, penggabungan parti ke lapan dalam GRS itu diharap akan mencapai matlamat bersama untuk membangunkan Sabah ke arah lebih makmur dan sejahtera.

“Selari dengan prinsip ‘Sabah First’, GRS kini semakin kukuh dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran Sabah tercapai,” katanya.

GRS diwujudkan secara tidak rasmi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September 2020 sebelum didaftarkan pada Februari 2022 dan diterima secara rasmi sebagai gabungan parti politik yang baharu pada 11 Mac 2022.

Sejak itu, GRS mengetuai kerajaan Sabah dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) sehingga Januari 2023 sebelum diganti Pakatan Harapan (PH) Sabah sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Anifah dalam kenyataan berterima kasih kepada kepimpinan GRS kerana menerima partinya.

Beliau berkata PCS akan bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan GRS sebagai sebuah blok politik yang boleh mewakili rakyat Sabah secara berkesan.

Anifah dilantik sebagai penasihat khas kepada Ketua Menteri Hajiji Noor tentang hal ehwal luar negeri, pada Feb 2023.

Anifah keluar Umno pada 2018 sebelum dilantik sebagai presiden PCS dua tahun kemudian menjelang PRN Sabah.

Namun, calonnya tewas di semua 73 kerusi ditandinginya termasuk Anifah di DUN Bongawan.

Show More

Related Articles

Back to top button