Jenayah & Mahkamah

Rogol & Amang Seksual : Penjual ikan hiasan dalam talian dipenjara lima tahun

MUAR – Seorang peniaga ikan hiasan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual kepada remaja perempuan bawah umur.

Tertuduh, Siah Wei Young, 26, mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika dua pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol remaja terbabit di rumahnya di Kluang, pada jam 5 petang, 22 Julai tahun lalu.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, pada jam 5.45 petang, 3 Mei lalu dengan kejadian ini juga berlaku di rumah sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa membuat laporan polis pada 6 Mei lalu selepas anaknya memaklumkan dia dirogol tertuduh selepas dibawa ke rumahnya di Kluang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Amalia Marsita Hamdan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan dan rayuan pihak pendakwaan serta pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama.

Bagi tuduhan kedua, dua tahun penjara dan satu sebatan dengan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan, 7 Mei lalu.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tahun sebaik selesai menjalani hukuman selari dengan Seksyen 27 AKKSTKK.

Show More

Related Articles

Back to top button