Berita Semasa

Kebolehpasaran graduan TVET di bawah KKDW capai 98.5 peratus – TPM

PUTRAJAYA – Kebolehpasaran graduan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah institusi kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencapai tahap 98.5 peratus.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hanya 1.5 peratus pelajar belum memperoleh pekerjaan kerana mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang yang sama.

“Untuk melihat kemasukan di Giatmara, IKM (Institut Kemahiran Mara), MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), UniKL dan beberapa institusi yang lain menjadi ukuran kepada berapa bilangan yang bergraduasi dan mendapat pekerjaan,” katanya dalam sidang media.

Beliau menekankan kepentingan TVET sebagai tonggak utama dalam KKWD.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi bagi tahun 2023 oleh KKWD di Hotel Marriot di sini.

Katanya, majlis itu untuk mengiktiraf sumbangan para pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugas mereka.

Beliau juga menyatakan bahawa KKDW merupakan antara kementerian yang berada di barisan hadapan dari segi prestasi.

Zahid menegaskan bahawa prestasi cemerlang seseorang bukan sahaja diukur dari segi produktiviti, tetapi juga dari sejauh mana pemegang taruh mendapat faedah secara langsung.

Katanya, KKDW mempunyai pemegang taruh di seluruh negara, yang terdiri daripada kumpulan sasar di kawasan desa, luar bandar, pinggir bandar serta di bandar yang memerlukan keprihatinan dalam menangani pelbagai isu.

“Oleh kerana terdapat 10 agensi di bawah KKDW maka pada peringkat awalnya terlalu sukar untuk ukur prestasi pegawai dan kakitangan sokongan.

“Namun apabila piawaian yang tinggi ditentukan untuk anugerah ini dilakukan kita dapati setiap jabatan dapat mengenal pasti pegawai dan kakitangan sokongan yang berperestasi tinggi,” jelas beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button