Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Rafizi umum penjajaran semula tiga agensi bermandat bumiputera di bawah selian Kementerian Ekonomi

CYBERJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan penjajaran semula ketiga-tiga agensi bermandat bumiputera di bawah kawal seliaan Kementerian Ekonomi di sini, pagi ini.

Menurut Rafizi, penjajaran semula strategi dan pelaksanaan bagi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dilaksanakan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang telah dijalankan awal tahun ini.
 
“Inisiatif penjajaran semula ini juga dilakukan susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) yang telah menggariskan strategi untuk memperkukuh peranan agensi mandat bumiputera dalam penyampaian agenda bumiputera.

“Kerjasama erat antara syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) serta agensi Kerajaan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bumiputera.

“Namun, kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta dijangka dapat membentuk ekosistem keusahawanan bumiputera yang lebih padu, menyeluruh, dan efisien ke arah pembangunan ekonomi bumiputera yang lebih saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di sini pagi ini, yang turut dihadiri lebih daripada 500 orang termasuk wakil perusahaan Bumiputera pelbagai saiz, pemimpin korporat, GLC, serta agensi kerajaan.

Tambah Rafizi, menerusi penjajaran semula ini, YP, TERAJU dan Ekuinas akan memainkan peranan yang khusus di dalam ekosistem keusahawanan bumiputera.

“YP berfokus kepada pembangunan bakat untuk meningkatkan kelas pencipta nilai Bumiputera, sementara TERAJU akan bertindak sebagai super-scaler dalam memacu pertumbuhan dan memperluaskan skala syarikat bumiputera ke tahap yang lebih tinggi dan kompetitif di arena global, manakala Ekuinas pula akan terus memacu penciptaan kekayaan dan penglibatan ekonomi bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat,” katanya.

Sementara itu, Ketika sesi pembentangan, Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, YP berperanan sebagai Talent Bank untuk mengenalpasti, membangun, memupuk, mengurus dan menyalur bakat bumiputera menerusi tiga kategori.

“Kategori itu temasuk Pemimpin Profesional, Pemimpin Perniagaan dan Pemimpin Komuniti dengan matlamat untuk membangunkan kelas Pencipta Nilai Bumiputera. Bakat-bakat Bumiputera ini seterusnya berpeluang disalurkan ke ekosistem TERAJU dan Ekuinas,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, TERAJU berperanan sebagai super-scaler dalam memangkin pertumbuhan perusahaan bumiputera.

Ia bermula daripada tahap permulaan sehingga pertengahan dengan menekankan aspek peningkatan keupayaan, pengukuhan daya saing, dan penskalaan dalam sektor baharu yang berpotensi tinggi.

“Usaha ini akan dilaksanakan menerusi pendekatan yang lebih efektif seperti Kerjasama Salingan (Reverse Linkages), Pembelian Langsung Pengurusan (Management Buy-Out), dan Penggabungan dan Pengambilalihan (Mergers & Acquisitions), yang akan disokong oleh program pembiayaan dan pemudahcaraan.

“Program pembiayaan meliputi pembiayaan hutang dan pembiayaan ekuiti, manakala program pemudahcaraan pula akan memfokuskan kepada Depositori Korporat Bumiputera serta Khidmat Rundingan dan Nasihat.

“Dengan ini, perusahaan-perusahaan Bumiputera ini akan dilonjakkan skalanya supaya dapat disambut oleh EKUINAS untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, Ekuinas akan terus memacu pertumbuhan syarikat-syarikat peneraju Bumiputera melalui model pelaburan Dana Persendirian (Private Equity atau “PE”) yang sedia ada.

“Di samping itu, kami akan memperkenalkan suatu program pelaburan baharu iaitu Kredit Persendirian (Private Credit), sebuah skim pinjaman langsung, yang akan menggandingi program pelaburan PE kami bagi menyediakan spektrum pembiayaan yang lebih lengkap.

“Program pelaburan baharu ini akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing perusahaan Bumiputera di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ekuinas juga akan memperkenalkan Dana Asas II, sebagai kesinambungan kepada Dana Asas yang telah dilancarkan pada Mac 2023 untuk memperkasakan perusahaan Bumiputera peringkat pertengahan.

“Dana Asas II juga mampu menyokong syarikat-syarikat berkelayakan yang telah dipupuk oleh TERAJU untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, menjelang 2030, hasil daripada penjajaran semula ini, ketiga-tiga Agensi terlibat telah diberikan sasaran yang perlu dicapai.  

“YP perlu menyediakan 10,000 bakat Bumiputera yang bersedia untuk bersaing dan menjadi pemain industri, TERAJU pula disasarkan untuk menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1 bilion menerusi kerjasama dengan sektor swasta serta membangunkan dan meningkatkan keupayaan sebanyak 1,000 syarikat.  

“Ekuinas akan menyokong lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera yang mempunyai rekod prestasi dan keuntungan yang cemerlang. Melalui dana berjumlah RM800 juta, Ekuinas akan melabur bagi menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat ini, memastikan mereka terus berkembang dan mencapai kejayaan yang lebih besar di pasaran,” kata Rafizi

Show More

Related Articles

Back to top button