Berita SemasaPM X

PM zahir rasa sedih pemergian Presiden Iran

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih beliau di atas pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian dalam nahas helikopter di sempadan Azerbaijan, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Kata Anwar beliau sempat bertemu Allahyarham Ebrahim ketika berada di New York, Amerika Syarikat, tahun lalu.

“Allahyarham menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan allahyarham dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” kata Anwar dalam satu ciapan di akaun X miliknya, hari ini.

“Malaysia lantas berduka atas tragedi ini dan bersedih atas malapetaka yang menimpa negara sahabat Iran.

“Doa dan solidariti buat rakyat Republik Islam Iran, dan semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisi-Nya,” kata Anwar lagi.

(Dari kiri) Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian; pegawai keselamatan presiden, Mehdi Mousavi; Presiden Iran, Ebrahim Raisi; Wakil Imam Besar Iran ke wilayah Azerbaijan Timur, Mohammad Ali al-Hashem; dan Gabernor Azerbaijan Timur, Malik Rahmati.

Selain Ebrahim dan Hossein, turut terbunuh dalam nahas berkenaan adalah pegawai keselamatan presiden, Mehdi Mousavi; Wakil Imam Besar Iran ke wilayah Azerbaijan Timur, Mohammad Ali al-Hashem; dan Gabernor Azerbaijan Timur, Malik Rahmati.

Show More

Related Articles

Back to top button