Jenayah & Mahkamah

Masak mi segera di stesen minyak: 4 individu didakwa di mahkamah esok

KUANTAN – Empat daripada 15 individu yang ditahan menjalankan aktiviti memasak mi segera di kawasan stesen minyak di Genting Highlands baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Bentong esok.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, keempat-empat individu itu dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

“Seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 24 tahun akan didakwa esok.

“Seramai 11 lagi individu yang ditahan telah dibebaskan dan mereka akan menjadi saksi kepada kes ini,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan tiada penglibatan anak timbalan menteri daripada 15 individu yang ditahan pada Sabtu sebagaimana ditularkan di laman sosial.

Pada 13 Mei lalu, media melaporkan penularan satu klip video di laman sosial memaparkan sekumpulan individu ‘berkelah’ dan memasak di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands, mengundang kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan.

Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih.

Show More

Related Articles

Back to top button