Berita Semasa

KDN optimis unjuran siling kemasukan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus mampu dicapai tahun ini

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) optimis sasaran unjuran siling kemasukan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara seperti yang ditetapkan Kementerian Ekonomi akan mampu dicapai sebelum 31 Disember tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini 17.1 juta daripada 34 juta rakyat Malaysia adalah dianggap sebagai kelompok atau tenaga boleh guna.

“15 peratus siling yang diberikan Kementerian Ekonomi bermaksud jumlah pekerja asing seluruh negara tidak boleh melampaui siling itu.

“Kita dapati siling yang ditetapkan oleh kementerian itu akan dicapai pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Tambah Saifuddin, unjuran berkenaan turut mengambil kira jumlah pekerja asing sedia ada, jumlah pekerja asing daripada majikan yang telah memperoleh kelulusan kuota dan jumlah yang telah mendaftar melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Beliau berkata, mesyuarat pada hari ini juga bersetuju bahawa pembekuan kemasukan pekerja asing adalah diperakukan.

Selain itu, katanya, mesyuarat turut bersetuju untuk membenarkan penggajian kali pertama terhadap tekong asing melebihi usia 60 tahun bermula tahun ini.

Jelas beliau, ia adalah susulan tekong mempunyai pengalaman besar selain sektor perikanan menyumbang RM16.5 bilion hasil tangkapan setiap tahun.

“Kita benarkan (penggajian tekong) 60 tahun ini dan tempoh adalah tidak melebihi 36 bulan sebab pas lawatan kerja sementara adalah setiap enam bulan. Musim tengkujuh dia (tekong) tidak turun ke laut,” katanya.

Ujar Saifuddin, setakat ini, jumlah tekong yang dibenarkan untuk digajikan ialah 332 orang dan telah dihadkan bagi tempoh tiga tahun sahaja.

“Kita akan kaji semula dan minta kementerian merangka ‘exit policy’ (dasar pemisah) dan penggunaan teknologi semasa bagi menampung kemampanan perikanan dalam negara,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button