Berita Semasa

Pakej langganan internet talian tetap sekolah KPM bermula 1 Julai ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka menyediakan pakej internet jalur lebar bertalian tetap kepada sekolah-sekolah di Kementerian Pendidikan (KPM) bermula 1 Julai ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penyediaan pakej langganan internet itu melalui pelaksanaan projek Projek Of Presence (POP) itu menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil berbanding talian mudah alih, dengan harga lebih murah.

“Perinciannya akan diumumkan tetapi mulai 1 Julai 10,000 sekolah-sekolah di bawah KPM akan dapat memilih pakej-pakej internet lebih laju, lebih murah.

“Saya harap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat untuk meningkatkan taraf hidup sekaligus melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerokai gaya hidup lebih berkualiti,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi berkata demikian selepas tinjauan POP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang di Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah.

Menurutnya kerajaan memahami keperluan kesaling hubungan Internet untuk rakyat, justeru kementeriannya sedang giat melaksanakan pelan capaian internet lebih baik di kawasan di bandar, luar bandar serta pedalaman.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button